Wednesday, May 7, 2008

Komen Mufti Perlis Isu Babi Di Selangor

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan negeri Selangor meluluskan projek ternakan babi berkelompok bernilai RM100 juta di Sepang, adalah tidak wajar kerana ia boleh menyumbang kepada kemajuan industri haiwan berkenaan.
Mufti Perlis, Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata tindakan berkenaan adalah salah kerana ia secara tidak langsung boleh menyumbang kepada kepesatan industri ternakan haiwan berkenaan yang jelas salah di sisi agama.
“Sebaliknya jika niat mereka (kerajaan Selangor) ingin memelihara alam sekitar dengan menyatukan semua ladang ternakan itu di Selangor, maka ia boleh diterima kerana dapat mengelak pencemaran berlaku.
“Oleh kerana projek ini hanya untuk bekalan domestik, mungkin jumlahnya tidak begitu besar dan boleh dikawal sekiranya ia benar-benar bukan untuk dieksport dan dengan niat menjaga persekitaran,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam, akhbar melaporkan Pas menyokong keputusan kerajaan Selangor melaksanakan projek ternakan babi berkelompok bernilai RM100 juta di Sepang dengan alasan orang Islam tidak berhak menghalang bukan Islam menternak dan memakan daging haiwan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali, berkata beliau menyokong penuh projek berkenaan selagi ia tidak mencemarkan alam sekitar.
Selain Dr Halimah yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Pusat, dua Exco Pas yang turut menyokong ialah Datuk Dr Hassan Ali (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam) serta Iskandar A Samad (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan).
Dr Halimah mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan negeri, Teresa Kok, yang mengesahkan kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat, DAP dan Pas Selangor meluluskan projek itu pada mesyuarat Exco, Rabu lalu.
Sementara itu, Bekas Pengerusi Tetap Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat negeri, Datuk Abdul Rahman Palil, berkata masyarakat Cina di Selangor turut membantah cadangan kerajaan negeri membina ladang ternakan babi secara berkelompok itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa itu, berkata maklumat awal yang diperoleh mendapati masyarakat Cina juga tidak setuju dengan cadangan berkenaan yang pernah dikemukakan ketika kerajaan negeri diperintah Barisan Nasional (BN).
Katanya, mereka membantah kerana bimbang ladang ternakan babi itu akan menimbulkan pencemaran teruk kepada alam sekitar berikutan najis kumbahan haiwan berkenaan sukar dilupuskan sekali gus mampu mengganggu keselesaan penduduk sekitar.
“Kerajaan perlu mengkaji dengan teliti cadangan ini dengan memastikan kaedah yang bakal digunakan tidak membawa kepada pencemaran alam sekitar,” katanya.

Tuesday, May 6, 2008

Kerajaan Selangor Tawar Ganjaran RM50K



Tawaran RM50,000!!!

kerajaan negeri Selangor menawarkan ganjaran RM50k kepada sesiapa yang mempunyai no plat kenderaan BAB 1 untuk digunakan sebagai no rasmi kenderaan MB negeri Selangor